Pengikut

Jumaat, 24 Januari 2014

Buku & Komentar 24: Mama Mia Shaza

Penulis: Emy Roberto
ISBN 978-967-11747-1-1
Penerbit: Lovenovel Publication
Harga: RM22.00 / RM25.00
Halaman: 512

Syazwan Imad & Maya Laila bertemu Sheffield. Syazwan tu 'bapa' segala buaya. Tambah lagi berada di bumi asing tiada siapa yang memantau. Maya Laila yang digelar singa itu juga yang dia kejar. Maya yang sopan, lemah lembut dan taat pada agama. Berbeze sungguh dengan Syazwan yang sentiasa menjadi Badman di malam minggu.

Disebabkan cinta, Maya sanggup menentang kata mama-papa. Pilihannya tekad untuk bersama dengan Syazwan. Seawal umur 20 tahun dia sudah bergelar isteri kerana padanya godaan Syazwan itu sunggu kuat. Dia bukan lelaki yang romantik tapi lelaki itulah hero pertamanya. 

Namun kadang kala bahagia itu tidak sentiasa ada. Syazwan memberi kata dua tika Maya sudah berbadan dua. Ditinggalkan Maya tanpa janji untuk kembali. Bukan sekejap tapi 3 tahun Maya bertahun dan lelaki bergelar suami itu tidak pernah kembali apa lagi bertanya khabar.

Selepas 3 tahun Maya kembali ke tanah air, bersama Mia Shaza yang keletah dan juga teman yang tidak pernah meninggalkan dia kala susah, Nadia. Kepulangan yang diundang oleh mama-papa, dihalau dari rumah dan tidak diterima sebagai anak lagi.

Bermula selepas itu pertemuan Maya dengan Syazwan, lelaki yang masih ditanam rasa cinta. Tetapi dia kecewa kerana Syazwan tidak pernah berubah, masih lagi ligat 'berkeliling' dengan wanita lain. Lalai dengan segala larangan agama. Syazwan juga tidak pernah bersedia untuk menerima Mia sebagai anaknya - kerana dia rasa dia masih tidak layak untuk bersama mereka.

Kehadiran Syazwi pula, sudah mampu memberi ruang untuk Maya beralih arah. Walaupun terselit salah faham antara mereka tetapi Syazwi lelaki yang matang dan prihatin.

Maka, bermulalah kemelut perebutan kasih antara Syazwan-Maya-Syazwi. Siapa pemenang antara kedua lelaki bernama Syaz ni ye? 

Komentar:

Dah berzaman buku ini orang lain baca tapi KakChik baru baca. Mungkin sebab ada sesuatu yang menghalang niat untuk membaca. Buku ni pun sebab kawan yang bagi pinjam, jadi baca la sebelum pulangkan semula.

1. Kisah ini peringatan buat anak-anak muda remaja (yang tua pun sama juga ye)yang mahu membina keluarga, restu ibu bapa tu penting. Itu kata kunci untuk bahagia sebab doa ibu itu antara doa yang paling makbul.

2. Berkahwin bukan hanya untuk melampias rasa nafsu seperti Syazwan & buat keputusan tanpa berfikir panjang. Malah boleh pula dia berpeluk sakan dengan wanita lain, tanpa melunaskan tanggungjawab terhadap yang wajib dia buat. Dah hilang, baru gelabah sakan!

3. Nak buat keputusan fikir dua berjuta kali. Jangan tahu nak tunjuk ego seperti Maya, dah jatuh talak baru menyesal tak sudah. Lepas tu buat keputusan untuk menjauh dari kawan yang selama ini membela dia. Nadia meninggal pun dia tak balik ziarah. Kejam!

Apa pun watak sampingan Nadia tu lebih dominan pada hati KakChik tapi sayang wataknya dimatikan sebegitu.

Ahad, 12 Januari 2014

Buku & Komentar 23: Yang Luar Biasa

Penulis: Hani Fazuha, Farah Husain, Anna Lee, Syah Shah
Penerbit: Idea Kreatif Publication
ISBN 978-967-12267-2-8
Harga: RM27.00 / RM30.00
Halaman: 636

Resensi penuh: 12 Jan 2014

Ini buku kedua yang dibaca pada tahun 2014. Kiranya KakChik mulakan dengan buku-buku yang mempunyai banyak jalan cerita di dalamnya. Buku yang mengandungi hasil karya empat orang penulis IK.

Kisah 1 - Yang Luar Biasa
Penulis - Hani Fazuha

Secara peribadi KakChik meminati cara penulisan penulis ini. Cara penulisan yang ringkas dan mudah hadam.

Kali ini penulis ini berkisah tentang Arissa, gadis yang terpaksa menerima aturan hidup kerana orang tua. Bukan tentang kahwin paksa sebab yang dipaksa itu adalah tentang cita-cita dan kerjaya. Dia terpaksa mengalah demi papa-mama kerana satu-satunya kakak yang dia ada, Ryanna yang sudah melepaskan segala tanggungjawab untuk menerajui empayar keluarga.

Kehadiran Zhariz dalam hidup Arissa bukanlah dalam sekelip mata, bahkan lelaki itu sudah terbiasa berada depan mata Arissa sedari dia anak kecil. Lelaki yang dianggap sebagai abang dan juga tunangan kakaknya itu, bagaikan sudah terlupa bahawa Arissa itu bakal menjadi iparnya. Zhariz melayan Arissa dengan layanan yang tidak sepatutnya sehingga Arissa sudah menanam harapan terhadap lelaki itu.

Sementelah lagi dengan kehadiran lelaki-lelaki yang memujanya, namun keputusan yang Zhariz-Arrisa ambil sudah tentu ada baik buruknya. 

Kisah 2 - Diary Mrs Ben
Penulis - Anna Lee

Karya ini agak rumit untuk KakChik terima kerana jalan ceritanya yang pada KakChik agak jauh dari cara hidup yang sepatutnya. Pertemuan Sofia-Ben selepas bertahun berpisah telah mencorak jalan hidup yang sebegitu rupa pada mereka. 

Ben, lelaki yang menjadi aktor pujaan ramai tapi kerana perhubungannya dengan Fiona telah menimbulkan rasa tidak senang dikalangan peminatnya. Jadi, Ben-Fiona telah menggunakan Sofia sebagai orang tengah untuk meredakan keadaan. Perkahwinan Ben-Sofia telah menjadi titik tolak kepada suatu perhubungan yang terikat dengan perjanjian gila mereka.

Ben itu pada dasarnya lelaki yang tidak kuat rasa cinta, kerana dia sewenangnya berkasih sayang dengan Fiona sedangkan cinta Sofia didambakannya sejak bertahun dulu.

Kisah 3 - My Slurpee Slurp!
Penulis - Syah Shah

Perlanggaran kereta antara Damien-Veena yang mencetus peperangan antara mereka. Veena memang hangat hati dengan lelaki yang menaiki kereta Wira tapi berlagak bagai dia sedang memandu Mercedes saja.

Kata orang dari benci boleh menjadi sayang, begitulah kisah mereka tapi pada dasarnya kisah ini masih juga kisah orang-orang kaya yang tersesat jalannya.

Rasanya kalau penulis lebih garapkan tentang keluarga Damien yang pelbagai bangsa-agama itu secara lebih terperinci pasti lebih menarik. 

Kisah 4 - Dear Cinta
Penulis - Farah Husain

Kerana kecewa Tasneem menanam harapan untuk berubah. Dia menjadi Tasneem yang kuat dan tidak mudah mengalah. Dia mahu menjadi Tasneem yang bersemangat selepas 10 tahun bercinta dan akhirnya kekasih hati meninggalkannya begitu sahaja.

Ariff Hakimi, lelaki yang mengubah kerjaya kerana rasa kecewa. Itu kata orang yang Tasneem dengar. Dari seorang peguam, dia membuka pusat fitness berkongsi bersama Benny. Dari dalam pusat tersebutlah dia melihat seorang wanita bersedih di bangku di luar cermin. Wanita yang mengalir air mata selepas berlalunya satu pasangan.

Kalau sudah jodoh, pertemuan di pusat tersebut telah menyimpan rasa antara kedua walaupun bukan mudah untuk keduanya mengakui cinta.

Komentar:

Sejujurnya Kisah 4 lebih mendominasi perhatian KakChik. Kisah ini digarap dengan baik ditambah lagi.

Dari sudut peribadi, rasanya sesetengah 'kisah' tidak perlu dimuatkan walaupun dengan tujuan untuk dijadikan tarikan.


Luvs,
KakChik

Buku & Komentar 22: Sekaki Payung Merah Jambu

Penulis: Orked V.
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
ISBN 978-967-0508-51-1
Harga: RM20.00 / RM23.00
Halaman: 456
Cetakan 1 - Disember 2013

Sudut pandang:

Perkataan pertama. Puas hati...:)

Ini kisah rasa antara dua hati, yang tidak pernah terluah walaupun sekali. Pertemuan mereka bukanlah kenangan yang manis untuk dikenang oleh Aim-Jaja kerana dari salah faham tersebut menyebabkan mereka saling menyimpan curiga. 

Mereka mempunyai kisah hidup yang tersendiri. Aim yang sentiasa dihambat dengan masa kerana kerjanya di sebuah pasaraya. Ditambah lagi dengan boss yang pada pandangannya terlalu cerewet. Dan Aimlah yang selalu menjadi mangsa kerana bahagian yang dipimpinnya selalu tidak memberi keuntungan kepada syarikat. Kerana tekanan kerja dan himpitan jadual harian, Aim bekas graduan psikologi pun kadang kala tidak terdaya untuk lebih bersemangat sehingga Jaja yang menjadi mangsa menggelar Aim, Si Mamat Kerek.

Jaja pula menyimpan segala rahsia hidupnya. Dia hidup berdikari dengan bekerja sebagai tukang jahit di Butik Che' Puteh dan kemahirannya dalam jahitan perincian manik. Walaupun itu adalah kerjaya yang diimpikan sejak kecil, tapi sikap Cik Kira iaitu bos yang andartu yang pada Jaja berat sebelah yang selalu menimbulkan rasa tidak senang Jaja. Jaja selalu menjadi sasaran untuk dijadikan tempat melepaskan kemarahan, walaupun hanya kerana kesalahan kecil.

Bermula dari pertemuan pertama sehinggalah pertemuan seterusnya, walaupun sering kali diwarnai dengan pergaduhan mulut keduanya telah meninggalkan rasa dalam hati mereka tanpa mereka sedari. Sikap ambil berat dan prihatin Aim sudah mencuri hati Jaja. Perubahan perangai Jaja yang lebih sopan juga telah mendapat tempat di hati Aim. Tapi kerana janji Jaja kepada abah, dia terpaksa mengalah.

Jaja pergi tanpa meninggalkan apa-apa pesan kepada Aim. Dia hilang begitu saja dari hidup Aim. Namun kesan yang ditinggalkan bukan sedikit. Tiada siapa antara mereka yang tahu, antara mereka masing-masing menyimpan rindu. 

Sama ada jodoh mereka bertemu atau pun tidak, apakah ada titik pertemuan selepas mereka berpisah tanpa kata selamat tinggal.

Komentar:

Walaupun permulaan jalan cerita sedikit lambat untuk panas tapi selepas pertemuan Aim-Jaja telah menimbulkan rasa ingin tahu yang tinggi. Kita jadi nak tahu apa yang akan berlaku selepas ini, selepas ini dan seterusnya. 

Kisah ini nampak relevan dengan perjalanan hidup anak muda di kota yang besar. Cerita yang ringkas dan padat tambah lagi ia bukanlah cerita omongan kosong dengan watak-watak yang terlalu gah seperti karya masa kini. Tiada watak hero-heroin yang kacak-jelita, mewah berkereta besar dan rumah banglo bagaikan rumah agam yang tidak terfikir oleh akal dan juga pangkat kerjaya yang menjulang tinggi tidak tercapai pada usia muda.

Semuanya sederhana membuatkan kita juga rasa tenang untuk menghabiskan ke perkataan yang terakhir. Watak-watak sampingan juga tidak kurang hebatnya kerana sesetengah watak itu bukan hanya watak tempelan semata.

Bacalah jika mahu melalui liku yang dilalui Aim-Jaja dan pasti kita bertemu kenapaSekaki Payung Merah Jambu itu meninggalkan rasa yang besar buat kita yang mahu mencari jalan takdir yang sudah terlukis buat mereka.

Luvs,
KakChik

Isnin, 6 Januari 2014

Buku & Komentar 21: Kerana Dia, Ratu Sehari

Diselenggara oleh: Noor Suraya
Penerbit: JS Adiwarna Publications & Distributors Sdn Bhd
ISBN 978-967-0201-91-7
Harga: RM38.00 / RM41.00
Halaman: 844

Komentar: 


Kalau pembeli lain pening kepala nak pilih buku kulit warna hijau atau merah jambu, KakChik tak perlu buat pilihan sebab kat depan mata masa tu cuma ada warna hijau aje. Jadi, terus sambar je lah. Isinya tetap sama, kan?

Tahniah buat pengelola Kak Su kerana berjaya mengumpulkan kumpulan 40 cerpen yang berkualiti daripada 37 penulis lama dan baru. Dengan buku setebal ini memang tidak membeban untuk dikelek sebab guna kertas kuning yang ringan. Jadi, acara membaca juga berjalan lancar.

Hampir semua cerpen di dalam naskhah ini mampu mengubah emosi. Dari tersengih, tersenyum, ketawa, gembira hinggalah berambu air mata. Ia penuh dengan kisah masyarakat yang berkisar tentang perkahwinan. Kisah yang terkumpul bagaikan gambaran segala rasa dan suka duka perjalanan hidup seorang yang bernama manusia.

Antara karya yang mendapat tempat teratas di hati sudah pasti, Biarkan Hati Menjauh karya Ina Rahim. Karya ini memang KakChik baca dengan emosi yang meleleh air mata. Dan cerpen ini juga menggambarkan penulis sudah semakin matang berbanding karya beliau sebelum ini, 'Straight' / Senget.

Sungguh buku tebal ini memberi banyak peringatan dalam karya yang ringan dan mudah dihadam. Tahniah buat warga kerja JS Adiwarna untuk koleksi kumpulan 40 cerpen ini.

Nota Kaki: Mulakan challenge this year dengan buku setebal ini, moga semangat juga akan tebal ke hujung tahun...

Cerpen pertama yang dikhatam: Kelab Single tapi cik penulis sungguh kejam kerana masih mahu berteka-teki tp bagi yang mengikuti kisah ini di blog beliau sudah pasti dapat meneka siapa gerangan teruna yang berjaya mencuri hati Jiba... :)"
Luvs,
KakChik

Sabtu, 4 Januari 2014

Hari ke 4, 2014

Assalamualaikum..moga tenang-tenang sahaja.

Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk terus menghirup udara di bumi ini. Cepatnya masa berlalu! Sudah 4 hari di tahun 2014.

Ya, sudah 4 hari juga tahun 2013 melabuhkan tirai. 2013 yang penuh dengan kisah suka duka dan cabaran. 2013 yang mengukir kisah sedih buat kami sekeluarga. Perginya bonda tercinta.

Namun 2013 masih tetap meninggalkan kenangan yang manis. Memori yang pasti akan dikenang. Perginya kedua orang tua juga, pasti meninggalkan kesan yang bukan sedikit buat kami. Moga terselit hikmah buat kami semua. 

Kita juga tidak tahu, apakah masih panjang buat kita di bumi ini? Ini adalah sesuatu yang tidak tercapai oleh akal kita. Moga kita sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.

Ya, hari ke 4 dalam tahun 2014M.

Luvs,
KakChik