Pengikut

Sabtu, 16 November 2013

Buku & Komentar 20: 13 Jam A380

Penulis: Evelyn Rose
Penerbit: Penerbitan KaryaSeni Sdn Bhd
ISBN 9789670246536
Harga: RM28.00 / RM31.00
Halama: 752

Komentar:

Terpengaruh! Itu sebenarnya yang menyebabkan terus order online dari MPHOnline sebab bila buka GR yang dah hampir 2 minggu tak singgah. Rata-rata komen tentang buku ni denganrating yang tinggi. Jadi harus la kita pun teruja juga, kan?

Kisah kehidupan yang penuh suka dan rasa teruja. Tidak lupa juga kisah pedih terluka dan terlalai dari landasan yang sebenarnya. Kisah mencari siapa Pencipta dan juga mencari siapa yang dicipta Pencinta untuk jodohnya.

Hana Sofea yang moden dan berwawasan tinggi. Anak kesayangan ayah yang mencuba untuk memenuhi impian si ayah untuk menggapai PhD selepas kakak dan adiknya sedari awal telah melukai hati si ayah. Namun begitu gaya hidup modennya dan kegilaan stalker terhadap Syed Haydar Syed Nazim tidak pernah padam sejak tiga tahun lalu. Lelaki yang cukup sempurna di mata Hana Sofea. Syed Haydar yang menjadi pujaan setiap wanita kerana karektor, rupa paras dan juga kekayaannya. Impian Hana Sofea hanya satu, kalau dia berpeluang bertentang mata dengan lelaki itu, dia menetapkan mereka memang ada jodoh.

Perjalanan selama 13 jam ke kota London dengan MAS A380 rupanya merupakan takdir yang mencorak warna dalam hidup Hana Sofea. Lelaki yang selama 3 tahun didambakannya berada di depan mata. Apatah lagi lelaki itu bagaikan memberi peluang untuk Hana Sofea terbuai dengan layanan dari lelaki pujaannya. Syed Haydar yang di depan matanya sungguh berlainan sekali. Tidak seperti yang diwar-warkan, serius dan sentiasa menjaga namanya. Tetapi Syed Haydar yang ini sungguh peramah dan juga mengujakan. 

Sepanjang di awan biru, mereka penuhi dengan pelbagai aktiviti yang melalaikan. Mereka bagaikan terlupa batas-batas yang sepatutnya mereka jaga. Hana Sofea terbuai dan terus terbuai. Walaupun hanya 4 jam bergelar kekasih kepada Sye Haydar, dia rasa cukup bahagia. Namun apabila kaki menjejak kaki ke bumi, semuanya berubah. Syed Haydar kembali kepada karektor lelaki yang serius dan sentiasa sibuk dengan kehidupannya. Lalu Hana Sofea ditinggalkan dengan memori 13 jam yang indah walaupun rasa hati Hana Sofea sangat terluka.

Dalam kelukaan Hana Sofea, jodohnya dengan keluarga Fido ada hikmat yang tidak pernah dia sangka. Kehidupan dia kembali tenang dan rasa bahagia yang tidak pernah dirasai dan alami diperolehi ketika bersama dengan keluarga Islam yang bermastautin di bumi London ini. Emmel yang comel dan bijak telah memenuhi segenap rasa bahagia itu. Ditambah lagi abang Fido, Fawwaz iaitu lelaki yang kacak, bermata ambar, berharta tetapi sungguh menjaga tatasusila sebagai seorang muslim. Fawwaz yang jarang menonjolkan rasa hati tetapi sikap ambil berat dan tanggungjawab Fawwas terhadapnya telah mengambil tempat di hatinya. Walaupun mereka sentiasa bersama dalam satu bumbung tetapi Fawwaz sungguh menjaga segala perbuatan dan cara hidup Islam.

Hana Sofea juga menemui sinar bahagia yang sebenarnya selepas dia bertemua Linda-Helena. Daripada mereka dia mula menilai erti hidup yang sebenarnya. Apakah yang dicari dalam hidupnya selamanya ini? Adakah dia sudah cukup islamik sebagai seorang Muslim? Dengan bimbingan Fawwaz dan orang yang terdekat dia berubah untuk menjaga muslim yang lebih baik. 

Dalam rasa bahagia dan perancangan Hana untuk mempertemukan Fawwaz dengan ayah, rupanya ada dugaan yang akan merubah segala perancangannya. Perjalanan pulan ke tanah air selepas 3 tahun di bumi ratu telah menggugat rasa hati Hana Sofea. Kenangan 3 tahun lepas bagaikan menari-nari di depan mata ditambah lagi dengan kehadiran 'teman' mewarnai perjalanan tersebut. Semakin jauh Hana Sofea menjauhi tetapi semakin licik lelaki itu memainkan hati Hana Sofea. Sudahnya dia terperangkap dengan permainan licik lelaki itu.

Segala rasa bahagia Hana-Fawwaz musnah dalam sekelip mata selepas malam perasmian Sky Hotel. Teganya Syed Haydar menayangkan segala memori gelap mereka selepas Hana Sofea sudah berubah. Fawwaz yang terkejut dan rasa tertipu tidak dapat menerima kejutan itu. Sudahnya impian Emmel untuk mommy-daddy bersatu musnah begitu sahaja.

Hana nekad untuk membalas dendam selepas segala impiannya untuk bersatu dengan Fawwaz musnah. Dia akan memainkan peranannya sebaik mungkin. Apatah lagi segala usaha keluarga untuk H's Cafe juga sudah termasuk dalam pertaruhan tersebut. Samada dia terluka atau dia yang melukakan dia tetap tekad dengan perancangannya.

Kisah ini bukan kisah kosong untuk buat kita terbuai-buai di langit biru tetapi kisah yang perlu kita selami untuk mengutip rahsia di sebalik kejadian dan takdir yang sudah diatur Allah. Kadangkala kita terlalu meminta-minta dengan Allah, namun bukan mudah untuk kita laksanakan walaupun sudah jelas petunjuk di depan mata.

Walaupun KakChik sedih sebab bukan jodoh Hana-Fawwaz (sebab memang terbuai sungguh dengan watak Fawwaz), tapi memang betul la kan, lelaki yang terbaik memang untuk wanita yang terbaik. 

Karya ini buat KakChik terfikir, apakah sudah cukup segala amal selama hidup di bumi ni. Tahniah buat penulis yang mengupas jalan cerita dengan kisah sebegini yang terselit pengajaran yang bukan sedikit.

Luvs,
KakChik

Buku & Komentar 19: Alahai, Bos Bertuah!

Penulis: Zan Zarida
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd @ grupbuk
u Karangkraf
Isbn 978-983124-862-1
Halaman: 521
Cetkan 1: 3013
Harga: RM21.00 / RM24.00

2.5 star

Tak tahu, KakChik rasa tajuk novel ni macam tak kena saja dengan jalan ceritanya. Itu yang KakChik rasa tapi orang lain x tahu la,kan.

Pendek je resensi ni..kalau rajin, nanti sambung lagi...Hik,hik,hik...



Luvs,
KakChik

Jumaat, 15 November 2013

Buku & Komentar 18: sweetnya Dia



Penulis: Maznie Darnisya
Penerbit: Idea Kreatif Publication
ISBN 978-967-11925-8-0
Halaman: 500
Harga: RM23.00/RM26.00
Cetakan 1 - Okt 2013


Sweetnya dia menjadi medan pergolakan kisah Alisya a.k.a Laily dan Ahmad Zarif. Pertemuan pertama mereka di kampung Laily menjadi kesinambungan kepada pertemuan-pertemuan seterusnya.

Laily yang mempunyai dua kisah sedih yang mahu dilupakan. Peluang pekerjaan yang datang tanpa diminta itu bagaikan memulakan kembali Laily kembali kepada kisah tersebut. Hakim yang memalitkan arang ke muka keluarganya rupa-rupanya bekerja di jabatan yang sama dengannya. Apatah lagi dengan kehadiran Farah, tunang Hakim di syarikat yang sama memang buat Laily rasa bagaikan mahu berhenti kerja. Apatah lagi dengan sikap Hakim yang tersua-sua kembali dan sikap Farah yang tak tahu malu menyerangnya sesuka hati.

Walaupun begitu kehadiran Zarif memberi peluang untuk Laily berkongsi rasa dan meluah perasaan. Perhubungan mereka dalam diam menjadi rapat walaupun mereka masih baru berkenalan. Apatah lagi dengan sikap Zarif yang terlalu berahsia. Tapi Laily selesa aja berdamping dengan lelaki pujaan ramai tu.

Sikap Zarif yang tidak berterus terang menjadi duri yang menyebabkan hubungannya dan Laily yang baru nak bercambah menjadi kuncup tanpa sempat mekar. Selepas Laily mengetahui status Zarif dan dengan kehadiran Alisa yang selama ini mengejar Zarif menyebabkan Laily lelah untuk bersama dengan lelaki itu lagi.

Apatah lagi dengan mata sendiri dia melihat Zarif dan Alisa berdua-duaan. Kalu pertama kali boleh dikatakan kebetulan, tapi kalau sudah dua kali memang mendatangkan curiga,kan?

Kehadiran Ikmal pula hanya menambah bahan perencah yang telah diadun oleh Alisa sehingga menyebabkan Laily berpatah arang dengan Ahmad Zarif. Sama ada mereka bahagia atau derita, itu jalan yang dipilih oleh keduanya.

Komentar:

Nampak aja nama penulis di kulit depan ni, terus order. Sebab masih terkenang lagi kisah Amru dan Yasmin (kalau tak silap) dalam Samudera Indah Nian. Jadi tahap tinggi diletakkan pada karya kedua ini.

Namun agak kecewa kerana karya kedua penulis ini bagaikan tidak tersentuh ke lubuk rasa. Tak tahu di mana silapnya sehingga membaca kisah Zarif-Laily bagaikan tiada rasa. Kosong. 

Terlalu banyak lirik lagu, juga terlalu banyak perkataan sweet juga plot yang kurang mantap. Malah sikap hero seperti Ahmad Zarif bukanlah calon yang mampu mendapat tempat di hati KakChik dengan sikapnya yang terlalu cemburu dan juga terlalu senang melukakan dan dengan mudah meminta maaf. Dia bukan lelaki yang mahu belajar dari kesilapannya yang pertama.

Malah terlalu banyak konflik selepas identiti Zarif terdedah juga menyebabkan hilangsweetnya kisah yang digarapkan ini.

Walaupun begitu kisah ini mungkin mampu meringan beban sangat kepala kita penuh dengan pelbagai masalah.

Buat penulis, jangan berputus asa dan teruskan menulis kerana saya dapat rasakan sesuatu dari kisah Amru-Yasmin dahulu.

Luvs
-KakChik-

Jumaat, 8 November 2013

Sudah 4 tahun...

Sudah 4 tahun berlalu
Sentiasa rindu akan suaranya
Suara yang sering melaung azan
Suara yang melagukan bacaan Quran
Suara yang menegur dengan kesalahan dengan tegas
Suara yang membina kami menjadi insan

Sudah 4 tahun berlalu
Terlalu rindu gelak tawa
Terlalu rindu senyumnya
Terlalu rindu akan kasih sayangnya

Moga aman di taman syurga
Moga di sisi mukmin beriman
Moga sentiasa bahagia di alam sana
Moga doa kami tidak pernah putus buatmu ayahanda

Tenanglah di sana bersama permaisurimu
Tenanglah kalian dengan iringan doa kami
Tenanglah untuk selamanya
Moga kasih sayang kalian bersatu di jannah sana

8 Nov 2009 - 8 Nov 2013
Sudah 4 tahun berlalu
AlFatihah buat ayahanda tercinta
Haji Mustaffa bin Awang

Juga buat permaisurinya
Hajah Halimah binti Daud
19 hari pemergiannya

AlFatihah....:(

Isnin, 4 November 2013

Oktober: Yang memilukan.

Tiada rasa yang mampu terluah
Tiada kata yang mampu terucap
Tiada senyum yang mampu terukir
Hanya rembesan air mata yang mampu mengalir

Saat menerima berita sedih
Hilangnya bidadari hati kami
Tanpa sempat kami lawati
Untuk saat terakhirnya

Perginya membawa seluruh rasa
Perginya membawa separuh hati yang tertinggal
Perginya tiada galang ganti
Perginya meninggalkan kami untuk diinsafi

Moga bonda tercinta aman di alam sana
Kami redha kerana perancangan Yang Maha Esa
Sudah tentu yang terbaik perancangan
Yang akan sentiasa di ingatan

Oktober yang memilukan
Buat seluruh ahli keluarga kami
Perginya tidak kembali
Meninggalkan kami

Oktober yang memilukan
Tanggal 21
Saat dia pergi
Tidak akan kembali

Tenanglah di sana bonda tercinta
Moga bersama solihin
Aminnn..

Dalam kenangan kami
Hajjah Halimah binti Daud
23101947 - 21102013

Al-Fatihah