Pengikut

Ahad, 17 Jun 2012

Buku & Komentar 7: Seadanya Kamu


Seadanya Kamu
Penulis: Iman Xara
Penerbit:Jemari Seni Sdn Bhd
ISBN 978-967-5118-80-7
Harga:RM20.00 / RM23.00
Halaman: 460
Cetakan 1 - April 2012

Kulit belakang:
Segunung debu pun, andai jatuh di kelopakmu, tetap dapat kucium harummu.

Julia, si gadis manis yang sentiasa mencuri perhatian Wafiy. Namun Julia tidak mahu rasa cinta mengaburinya. Lalu, huluran cinta Wafiy dibiar sepi. Baginya, biarlah dia mencapai cita-citanya dahulu.

Dek kerana dendam seorang teman, hidup Julia tercalit sejarah hitam. Dia hilang arah. Lalu, Julia meninggalkan segala-galanya temasuk Wafiy tanpa sebarang kata. Dia ingin melupakan semua itu.

Di tempat baharu itu, Julia mengenali hati seorang Firas. Tapi, hatinya cukup takut untuk diharap dan mengharap. Malah, mawar putih pemberian Wafiy itu seolah-olah mengikat hatinya daripada menerima cinta yang lain.

Pilihan yang diberikan kepadanya oleh Firas, sama ada kurung biru itu dipakai atau dikembalikan ke pangkuan keluarganya. Apa yang harus dipilih? Haruskah dia memberi harapan kepada Firas? Atau dia perlu terus meneguhkan hatinya untuj Wafiy? Dan, dapatkah mereka menerima memori hitamnya dahulu?

*****
IMAN XARA menulis dengan bahasa dan susunan kata yang cantik untuk menelusuri kisah Julia dalam menempuh dugaan hidup dengan tinta yang berbeza dalam Seadanya Kamu.

Komentar:

Iman Xara, seperti hasil karya yang lepas, Kau CuriHatiku menjadikan isu-isu semasa sebagai input untuk menghasilkan sebuah karya yang sarat dengan teladan. Isu semasa yang hangat dan bagaikan belum ditemui jalan titik noktah ini merupakan medium yang bukan enteng yang telah diolah oleh penulis dengan tinta yang tersusun indah walaupun pada sudut pandangan KakChik masih ada yang perlu diperbaiki.

Perjalanan hidp Julia yang tenang-tenang sahaja sepanjang bergelar pelajar universiti tercalar sehingga dia tidak mampu lagi bertahan untuk meneruskan pengajian terjadi hanya kerana dendam teman serumah yang tersesat jalan hidup. Silapnya Julia yang selalu bertegas dengan perkara yang benar telah menyebabkan dia menjadi mangsa Elis dan dirancang pula bersama Eddy, teman lelakinya. Kerana tidak mahu perkara itu terbongkar, Julia telah mengambil jalan untuk berhenti belajar dan memutuskan hubungan dengan sesiapa saja yang mengenalinya demi menjaga maruah diri dan keluarga.

Beruntungnya Julia yang digarap oleh Iman Xara kerana dia mendapat sokongan keluarga walaupun pada awalnya, ayahnya bagaikan tidak dapat menerima perkara tersebut. Julia terpaksa bangub kembali demi kehidupan yang lebih baik walaupun trauma itu tidak pernah luput dari minda. Sementelah dia tidak pernah memadamkan nama Wafiy di hatinya dengan ditemani mawar putih yang telah kering nan sekuntum itu. Tetapi bukan mudah juga untuk Julia merawat hati bila mana mengetahui Wafiy sudah memberi hatinya kepada bekas teman sekuliahnya, Farhana.

Bertahun penantian daripada Firas, bisakah melembutkan hatinya? Apakah kehadiran Danisya telah mengubah arah tuju kasih sayang Aufa dan Aswad terhadap anak kecil Damia yang polos itu? Kemunculan Aufa dan Aswad dari karya terdahulu penulis juga telah menambah rencah kehidupan dalam naskhah ini.

Tahniah kepada Iman Xara untuk karya yang cantik walaupun KakChik sedikit terbeban sehingga sekarang, bagaimana Julia tidak menyedari sesuatu yang tiada nilai gantinya dan bermakna sudah hilang darinya?

Sangat suka kulit depan yang simple dan ‘tenang’ itu…J

 Luvs,
KakChik



Isnin, 21 Mei 2012

Buku & Komentar 6: Dapur Wawa

Jom masak-masak dengan Wawa ^^

Dapur Wawa
Penulis: Ika Madera
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
ISBN 978-967-5118-81-4
Halaman : 415
Harga: RM18.00 / RM21.00
Cetakan 1- Mac 2012
Cetakan 2 - April 2012

Kata kulit belakang:

Semua orang suruh kahwin dan Wawa tidak pernah peduli. Wawa sudah penat bercinta, mencari, mengejar dan lebih suka bercinta dengan buku sahaja. Hinggalah bonda dan Kak Pah serahkan padanya fail 'Encik Abu'.

"Apa ni?" Fail biru dengan kod 100789 terletak di hadapan Wawa.
" Ini fail klein Kak Pah. Cuba Wawa lihat." Jawab Kak Pah.

Dalam fail itu, tertera biodata bujang trang tang tang 'Encik Abu' Abdullah, yang bonda yakin sangat-sangat, secocok dengan Wawa. Haah? Drebar mahu dicalonkan dengan Wawa, pekerja kelas atasan? Hesy, bonda! Tak sesuai langsung!

Tapi, jodoh itu di tangan Tuhan. Biarpun pada mulanya Wawa menolak, ternyata 'Encik Abu' itu jodohnya. Masalahnya, Wawa ni jarang sekali masuk ke dapur! Nanti nak kasi anak lelaki orang tu makan apa?

Maka berpencaklah Wawa di dapur, belajar memasak, belajar mengemudi kehidupan baharu; belajar menyesuaikan diri dengan kejutan-kejutan dalam hidup baharunya.

****
IKA MADERA, penulis dari Kota Singa ini kembali dengan memaparkan kisah kehidupan yang penuh suka duka. Dapur Wawa diadun dengan cukup rencah dan perasa oleh penulisnya, berserta resepi-resepi yang membuka selera!

Komentar saya:

Keterujaan nak memiliki naskhah kedua dari penulis Kota Singa ini sedikit terbantut sebab waktu order online dengan jemari seni, novel ni dah kehabisan stok dan kena tunggu stok baharu sampai. Jadi saya buat keputusan untuk membelinya waktu Pbakl 2012 yang lalu dan dapat juga jumpa penulisnya (Dapat juga resepi card dr Puan Ika Madera..thanks kak).

Rata-rata review yang dibaca sebelum saya baca sendiri karya ini, mesti rasa terliur tahap nak meleleh air liur dan harus ada makanan di depan mata..ahaks...hiperbola x ayat tuh... Dan saya juga sejujurnya turut mengulum lidah nak makan lasagne yang Encik Abu masakkan untuk Hannah. Hannah itu anak gadis yang secara tiba-tiba hadir antara mereka dan menyebabkan Wawa berperang dingin Encik Abu. Wahhhh, semua orang memuji lasagne itu, bonda yang mahir bersilat di dapur pun memuji menantunya itu tapi kalau dengan Wawa bukan main mahal lagi pujian bonda, ya!

Selain dari air liur yang mesti ditelan berkali-kali disebabkan jalinan resepi yang diselitkan secara santai dalam naskhah ini, saya juga mempunyai cabaran lain. Apa cabarannya?...Berebut naskhah ini dengan Cik Aimi yang teramatlah suka menilik periuk sup di kulit depan dengan pelbagai bahan masakan itu. Ahaks...mahu jadi chef ke anakku ini?...:)

Jalinan perencah yang sesuai dengan rencah hidup Wawa yang ada pelbagai warna memang tidak jemu untuk diulang baca. Apatah lagi dengan kehadiran insan-insan di sekeliling Wawa yang rata-rata tukang masak yang tahap Master chef itu membuat karya ini manis dengan caranya yang tersendiri. Rempah ratus emosi dan rasa Wawa sepanjang liku hidupnya juga penuh dengan ajaran yang berguna. Paling berkesn di hati saya saat Wawa  diuji dengan kehilangan sesuatu yang menjadi impiannya sekelian lama. Bagi saya di sinilah kekuatan olahan cerita ini kerana walaupun dalam pahit manis mengolah pelbagai resepi untuk meharmonikan rumahtangganya, dugaan kehilangan itu lebih besar natijahnya. Namun, betapa orang-orang di sekelilingnya tidak pernah meletakkan Wawa jauh hayut dengan laut kedukaan. Manisnya tetap muncul walaupun tanpa insan yang dilahirkan dari rahim sendiri tetapi kehadiran Hannah sudah mampu membuka pintu hati Wawa untuk mengalirkan rasa kasih untuk anak gadis itu dana anak -anak lain dengan reda.

Walaupun garapan karya ini terlalu sedikit tentang Encik Abu tetapi rasanya dia tetap mendapat tempat di hati saya..chewah.. Sebenarnya penamat kisah Encik Abu sudah dibaca sebelum membaca karya Dapur Wawa dalam blog Ika Madera.

Memang sesuatu yang unik untuk dijelajah melalui nukilan kedua dari penulis ini. Tahniah Kak Ika, ganbate!

Luvs,
KakChik

Jumaat, 18 Mei 2012

Buku & Komentar 5: Nah, untuk Awak!


Bersama Najiha mencari jati diri 
Nah, untuk Awak!
Penulis:Nirrosette
Penerbit: Jemari Seni Snd Bhd
ISBN 978-967-5118-86-9
Cetakan 1 - Mei 2012
Halaman : 474
Harga: RM 20.00 / RM 23.00

Kata kulit belakang:

Kau umpama pelangi yang terbentang di langit nan biru

Kata Najiha, hidup ini mudah. Punya babah yang menyayangi sepenuh hati. Kekasih hati yang sempurna di matanya. Kawan-kawan yang setia di sisi. Hidup Najiha sudah lengkap.

Namun, langit tak selalu cerah. Cinta hatinya bealih arah kepada orang yang dia percaya. Najiha terkedu seketika. Hidup ini bukan semudah yang dijangka. Lalu, dia mencari tenang di buki Korea. Tenang yang dicari sentiasa saja diganggu oleh Si Janggut Sejemput.

"Awak intip saya ke apa?"
"Nak intip awak buat apa? Tak ada maknanya."
"Habis tu mana-mana saya pergi kenapa saya nampak awak saja?"
"Tempat ni bukan awak yang punya."

Baru saja luka di hati ini ingin sembuh, Najiha diduga lagi dengan pemergian yang tersayang. Namun, Najiha pasti setiap yang berlaku, pasti ada hikmah-Nya. Jalan bahagia ada di depan matanya. Najiha hanya perlu memilih untuk ke kiri atau ke kanan.

Andai takdir jodohku bukan denganmu, aku percaya Dia telah memilih yang lebih baik untukmu.

*****
Selepas Ihklas, A.K! kini NIRROSETTE membawa kita menelusuri hidup Najiha yang percaya pada pengakhiran yangbahagia. Nah, untuk Awak! Sebuah kisah bahagia bersulam luka ini ditulis dengan pena yang cantik dan bahasa yang santai.

Komentar saya:

Sejujurnya, kita memang mengharapkan sesuatu yang manis daripada gambaran kulit muka depan yang manis dengan merah samar yang memang sinonim dengan gelaran gadis, Najiha. Bagi seorang anak gadis yang dimanja sementelah hanya dia yang dimiliki oleh babah setelah pemergian ibu selepas kelahirannya, ruang lingkup hidup gadis ini tidaklah terlalu luas. Di sekelilingnya, hanya ada babah, teman baiknya Nina dan Dian serta teman sejak kecil yang telah dinaiktaraf menjadi kekasih hati sejak lima tahun lalu, Ilham. Itu sudah cukup baginya yang tidak pernah mahu meminta lebih.

Apabila kebahagian yang pada hemahnya akan terus kekal dimilikinya diregut begitu, dia terpana seketika. Dia hilang keyakinan diri serta dia mula hilang ceria yang menjadi identiti diri. Kenapa orang yang dipercayai tega melukai hatinya? Tidak cukup setiakah dia atau si kekasih hati yang curang?

Lalu dia membawa hati yang berdarah ke bumi Korea, bumi yang sentiasa dalam anganan untuk dijejaki. Pemergian yang secara paksa rela oleh babah dan Nina yang kononya untuk mencari semangat baru dan mengubati hati yang rawan. Dia tidak pernah tahu bahawa pemergiannya itu akan diiringi dengan teman yang padanya tidak pernah dia ingini. Lelaki yang padanya selalu buat darahnya tersirap tanpa dapat dikawal. Namun dia tidak pernah terfikir bahawa lelaki itu sememangnya memegang amanah babah.

Pemergian babah secara mengejut juga makin menambahkan rencam hati Najiha, dia teruji lagi dengan dugaan yang menimpa diri. Namun hikmah di sebalik kejadian itu membuka hatinya untuk menjadi insan lebih baik di sisi Tuhan. Saat dia pasti dengan pilihan antara Fahri dan jejaka itu, dia teruji lagi lalu dia hanya berserah dan membuka hatinya untuk lelaki yang sudah mampu memiliki hati.

Padanya segala bahagia itu sudah dalam genggaman selepas bergelar isteri, tetapi kenapa kebahagiaan itu direnggut lagi dengan isu yang buat dia sudah hilang percaya pada lelaki bergelar suami? Adakah selamanya Najiha mahu terus hidup begitu, atau jalan penyelesaian bagaimana?

Pada pengamatan saya Nirrosette masih menggunakan lelaki yang baik sebagai medium yang tersembunyi dalam karyanya seperti karya pertama beliau. Namun begitu medium itu tidaklah terlalu menonjol dalam karya ini. Peranan Najiha yang digambarkan sedikit mempunyai persamaan seperti watak utama dalam karya pertama beliau walaupun Najiha itu tidaklah terlalu buta tentang agama. Karya penulis muda ini masih mempunyai nilai islamik yang santai yang sesuai untuk bacaan setiap lapisan masyarakat dengan isu-isu semasa yang dirungkai secara ringkas. Walaupun kadang kala saya bagaikan terlihat bayangan identiti penulis lain di sebalik nukilannya.

Luvs,
KakChik