Pengikut

Khamis, 3 Mei 2012

Buku & Komentar 2: Transit Cinta


Karya anak muda yang berbakat besar


Penulis : Iqbal Syarie
Penerbit: JS Adiwarna Sdn Bhd
ISN978-967-0201-27-6
Harga: RM20.00/ RM22.00
Terbitan 1-Februari 2012

...kerana Dia yang memegang hati...

Blurb:
setiap manusia punya sejarahnya,
lalu dengan sejarah mereka menganyam masa depan

Akiff Firdaus, sedih sekali! Seluruh ahli keluarganya telah terkorban dalam sebuah nahas udara. Kehilangan itu membuat dunia yang luas terasa sempit tiba-tiba. Pertemuan semula dengan Diana, memacu dirinya untuk segera pulih membina sebuah hati yang baru. Sayangnya Diana juga pergi tanpa pesan. Bagaimana pula jiwa yang sedang bertatih itu mahu kembali bernyawa jika satu-satunya 'sang matahari' dia hilang tanpa menunggu senja?

            Aku seorang pencinta,
            Yang memiliki cinta dan menawarkan cinta,
            Yang menghargai cinta buat yang menghamparkan cinta,
            Yang bahagia dalam sujud pada Sang Pencinta cinta.

Lalu, segala misteri perubahan Diana terungkai jua. Siapa sangka gadis yang lenah menjadi hamba Tuhan yang sangat dekat dengan Penciptanya itu berubah sedemikian rupa. Diana yang dahulu dan Diana yang kini ibarat matahari yang sedang menelan cahaya. Dia yang dahulu dengan dia yang sekarang bagaikan api yang menyalakan dingin!

Lalu, di mana 'cinta' ini harus berlabuh?

******
Iqbal Syarie menggunakan pengetahuannya sebagai penyelenggara pesawat untuk menulis cerita penuh pengisian ini. Akiff-Diana, dua watak yang terperangkap dalama takdir yang tidak tersangka, dan kecekalan mereka membawa ke Transit Cinta hakiki.

Komentar dari sudut hati:

Alhamdulillah, saya membuat keputusan yang tepat apabila membawa naskhah ini menemani ke pesta buku di PWTC. Perjalanan yang panjang (kerana menunggu)memang terisi dengan keindahan bahasa dan juga dakwah yang disampaikan secara santai oleh penulis berbakat ini. Saya kira, penulis sudah sedikit matang daripada karya pertama, namun begitu masih ada lompong yang boleh ditampalkan untuk mengindahkan karya ini.

Perjuangan dua watak utama yang saya kira diolah secara tidak adil kerana watak Akiff lebih diberi penekanan tapi mungkin ia juga mencermin yang menggambarkan perjuangan penulis itu sendiri. Walaupun watak Akiff mendapat sokongan yang lebih daripada penulis, watak-watak sampingan masih memberi kesan kepada keseluruhan kisah di sebalik Transit Cinta ini.

Namun begitu, pada hemah saya karya ini akan lebih memberi isi jika watak Diana itu diberi ruang yang lebih luas kerana sudah pasti saya mahu 'bersamanya' ketika dia dekat dengan Penciptanya sehingga dia hilang nikmat syukur dan hilang keyakinan kepada Tuhannya dan paradigma yang dilalui sehingga dia mampu mendidik hati untuk kembali taat kembali kepada Penciptanya. Walaupun dihikayatkan Fatihin yang memberi rangsangan kepada Diana untuk mencari damai hati tetapi jalan susur untuknya kembali terlalu kurang diberi ruang dalam karya ini.

Namun begitu, nukilan Saudara Iqbal masih mempunyai suatu misteri yang harus dihadam dan digali untuk suatu perubahan sahsiah dan jalan hidup yang lebih baik di sisi Islam itu sendiri kerana betapa selama ini kita terlalu digula-gulakan sehingga kita hingga nikmat syukur dan yakin diri sebagai umat Islam.

Suatu karya suara generasi baru yang berani memberi pendapat tentang politik negara, agama dan bahasa yang indah dalam menyampaikan dakwah. Tahniah kepada penulis muda ini, walaupun saya sedikit terkilan kerana tiada pengakhiran kisah Sarah (adik Diana) yang berada di bumi Aberdeen. Bagaimana anak sekecil 10 tahun itu hidup sendiri dengan abang yang sudah dikristiankan dan juga datuk nenek yang memberi tekanan. Saya kira kisah si anak kecil ini pasti menarik jika dicoretkan.

Dan selepas 2 hari berkelana bersamanya saya dengan rendah hati memberi 4 BINTANG untuk usaha penulis muda ini. Moga beliau tetap istiqomah dalam langkah dakwah ini.

"Pemuda yang mati daripada dakwah, ialah pemuda yang mati tanpa dikuburkan" - Transit Cinta, 352.

Till next text ya..

Luvs,
KChik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan