Pengikut

Rabu, 18 Julai 2012

Buku & Komentar 8: Damai Aku dalam Haruman Sakura

Perkataan SAKURA penuh kulit depan..:)

Damai Aku dalam Haruman Sakura
Penulis: Hafizul Osman
Penerbit: JS Adiwarna
ISBN 978-967-0201-40-5
Harga:RM 15.00 / RM 17.00
Halaman: 220
Cetakan 1- Januari 2012

Aku telah meletakkan perkataan bahasa Inggeris di dahinya - 'REJECT'!

Kata kulit belakang:

Tidak semua orang berpeluang mengikuti program pertukaran pelajar ke Jepun seperti Azmil. Lalu dalam hati dia menanam tekad untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman selama empat bulan di Jepun nanti.

Di Jepun dia tinggal bersama sebuah keluarga angkat yang sangat baik hati. Dia ditempatkan di Sekolah Tinggi Kobe yang terkenal itu. Dek kerana ingin belajar tentang budaya Jepun dia menyertai Kelab Kebudayaan Jepun.

"Selamat berkenalan! Saya Azmil! Maaf, saya tak dapat salam dengan awak. Saya seorang Islam," balasku antara dengar dan tidak. Suaraku agak perlahan. Gadis itu tersenyum sambil tunduk hormat seperti orang Jepun.

Perkenalannya dengan Aki, telah melahirkan perasaan lain dalam hati mereka. Lalu apakah kesudahannya apabila aku ini ibaratkan lebah; ada tiga bunga di hadapanku - bunga anggerik, bunga sakura dan bunga matahari.

Komentar:

Kakchik sangat suka ayat yang tertera di kulit depan karya ini, 'REJECT'. Ayat tersebut bagaikan mempunyai aura untuk Kakchik 'culik' buah tangan penulis muda ini ketika PBAKL 2012 yang lalu walaupun tidak tersenarai dalam senarai harus beli yang siap dibawa ke sana. Dan kesempatan berjumpa dengan penulis muda tersebut, terdetik di hati ini dia sungguh bertuah kerana 'berlindung' dalam keluarga JS Adiwarna.

Damai Aku dalam Haruman Sakura, membawa kita mengikuti Azmil kembara ke bumi matahari terbit tersebut bersama azam untuk menimba sebanyak pengalaman bersama persoalan yang diutarakan sahabat yang dihormatinya, Abang Rizal. Kembara yang membawa modal insan sebagai seorang muslim walaupun Azmil masih keliru bagaimana dia mampu membawa dakwah sebagai muslim nanti.

Perkenalannya dengan gadis Jepun yang peramah bernama Aki, telah melorek sejarah yang membuat Azmil mengenal kebudayaan Jepun itu sendiri selain perasaan lain yang mengusik hatinya. Dakwah yang secara tidak sedar tersebar melalui persahabatan mereka telah menyebabkan suatu peristiwa Azmil kehilangan Aki. Hingga ke hari terakhir Azmil di bumi sakura, Aki tidak pernah lagi ditemui.

Melalui program pertukaran pelajar tersebut juga, Azmil telah berkenalan secara tidak sengaja dengan gadis Melayu yang misteri pada pandangannya. Mereka pernah terluka walaupun jalan kisahnya berbeza.

Cara penyampaian penulis yang lancar dengan terselit perkataan Jepun yang ringkas mampu menarik minat untuk dibaca. Selain itu, jalan dakwah yang diutarakan nampak ringkas walaupun impak di kemudiannya agak besar, di mana hampir semua yang ditemui Azmil sepanjang kembaranya mendapat hidayah Allah.

Penamat yang memang kadang kala terpesong dari akar umbi jalan cerita buat kita terfikir, sesuatu yang terjadi itu bukan aturan kita tetapi memang sudah ditulis atau dipegang oleh Allah.

Penulis juga sudah berkongsi banyak info berkenaan negara Jepun dalam penyampaian yang ringkas, mudah untuk difahami dan juga karya yang tidak terlalu tebal ini masih mempunyai nilai yang perlu digali.

Jadi penamatnya siapa pilihan Azmil antara bunga anggerik, bunga sakura atau bunga matahari hanya boleh diketahui melalui karya ini.

Sayang,
-KakChik-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan