Pengikut

Khamis, 7 Februari 2013

Buku & Komentar 9: Cintaku Luruh Di Oxford

Penulis: Noor Suraya, Imaen
Penerbit: JS Adiwarna Publications & Distributions Sdn Bhd
ISBN 9789670201627
Halaman: 738
Harga: RM34.00 / RM37.00
Cetakan pertama: Januari 2013


Rasaku: 

...cinta itu anugerah
lalu salahkah aku apabila tak dapat mencintaimu...

Musim luruh yang muram dan suram itu sudah berubah jadi musim luruh yang penuh warna warni dan ceria buat Falah dan Zuha, saat pertama kali mereka berjumpa di bumi Oxford yang dibalut dingin musim luruh yang dingin keperangan. Mereka menyimpan rasa suka yang hanya mereka berdua yang tahu nilainya. Namun kerana perbezaan darjat yang buat diri Falah tidak yakin untuk meluahkan rasa hati dan juga Zuha gadis cilik yang masih terpelihara sopan bahasa dan pekerti walau bertahun di Tanah Ratu, masih tebal sifat malu dan sahsiah anak gadis Melayu. Pada Zuha yang sering berjaket hud merah cili itu, dia tidak mahu jadi garis pemisah antara Falah dan Damina, 'buah hati Falah' yang cantik semua itu.

Musim luruh terakhir pada mereka di bumi Oxford, musim luruh yang terindah untuk dikenang dan sentiasa mengikat hati mereka yang tidak pernah diberi kata janji. Kepulangan Zuha yang terpaksa berhenti belajar kerana masalah keluarga. Dan salah faham Falah yang tidak pernah berani untuk bersemuka dengan si juita hatinya, memisahkan hati-hati yang sentiasa melagukan irama yang sama.

Lima tahun terpisah tanpa tanda dan pesan, terjumpa di Bukit Dussek yang tenang dan damai tetap meninggalkan kesan yang buat hati mereka reda. Takdir tidak pernah sengaja melukakan hati mereka tapi kerana hati itu dipegang Yang Maha Kuasa, walaupun mereka sudah gembira dan bahagia dengan nyanyian hati, tapi ujian itu tidak pernah salah pada setiap hamba-Nya.

Adakah hati Zuha-Falah akan menyanyikan lagu yang sama kembali selepas Zuha sudah terikat? Mampukah musim lusuh di Oxford memberi sinar yang lebih terang buat mereka?

Hasil karya duet yang sungguh awesome daripada Kaksu dan En Imaen. Memang sungguh cukup segala perisa, rencah, rempah dan rasa. Kiranya kalau masakan tu dah boleh menang tahap Master Chef antarabangsa.

Karya yang penuh dengan bahasa yang indah dan tersusun walaupun terjumpa dua tiga tempat tersilap taip ejaan. Terselit pelbagai rasa untuk ekonomi, sosio budaya, politik, bahasa, peradaban manusia,sejarah dan memang tidak rugi untuk membacanya.

Oleh kerana olahan bahasa yang cantik tersusun dan tertib, memang tidak nyata ia ditulis oleh dua penulis kerana kita tidak akan terjumpa kecacatan atau 'perbalahan' bahasa dalam plot yang dicoretkan. Ia bagaikan tercantum cantik dengan cukup kasih sayang yang menyatukan ilham keduanya.

Sesuatu yang menarik dengan kehadiran lukisan Cik Hud Merah di akhir-akhir muka surat novel ini. Latar belakang di Estet Bukit Dussek, kerjaya Falah dan Zuha juga menjadi kelainan daripada novel masa kini yang hanya berani memaparkan kehidupan yang mewah dan kerjaya yang gah sahaja. Kadangkala kita perlu keluar dari keselesaan untuk sesuatu yang lebih mencabar untuk tahu tahap limit diri kita.

Tahniah buat Kaksu dan En Imaen serta terima kasih untuk kiriman CLDO ke pulau...:)

Menanti karya seterusnya dari kalian berdua.

Luvs,
KakChik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan