Pengikut

Jumaat, 22 Februari 2013

Buku & Komentar 11: Dandelion Ditiup Angin


Penulis: Aidah Bakri
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
ISBN 978 967 0508 085
Harga: RM20.00 / RM23.00
Cetakan pertama – Februari 2013

Kisah Dini, anak orang gaji yang menumpang di rumah mewah keluarga Harraz Rifqi nampak klise sahaja tetapi apabila sudah diselusuri pasti menemui pelbagai rasa di dalamnya. Penuh pahit, manis dan suka duka perjalanan hidup seorang yang bernama Nurin Ardini.

Kehadiran Dini di vila mewah Datuk Mazlan dan Datin Zaharah tidak pernah diterima baik oleh anak tunggal pasangan tersebut. Ada sahaja ulah yang dilakukan Rifqi untuk menyakitkan hati Dini. Kerana naifnya Dini, kejadian malam musibah itu telah meninggalkan kenangan yang selamanya menghantui hari-hari Dini. Malam Dini hilang kepercayaan dan keyakinan dari ibu, umi dan abi. Kenapa lelaki itu sanggup menjatuhkan hukuman itu terhadapnya?

Kerana peristiwa itu juga, dia hilang segala rasa bahagia. Dia hilang ibu yang tiada ganti, dia hilang umi dan abi, juga hilang tempat berteduh apabila dia melangkah keluar dari vila mewah itu. Namun dalam luka dan derita, dia bersyukur masih ada yang menerima. Kehadiran Ibu Rasyidah dan Iffa telah banyak membantu dan dengan kasih sayang mereka dia bangkit semula walaupun bukan mudah. Apatah lagi dia masih diuji dengan kehilangan harta yang paling disayangi. Wajah mulus kecil itu hanya diberi pinjaman sementara sahaja.

Jangka masa sepuluh tahun tidak pernah melupuskan kenangan pahit dan pedih itu. Rupanya jangka masa sedekad itu tetap meninggalkan luka yang kembali berdarah apabila mereka bertemu semula. Sangkanya dia sudah cukup kuat untuk menghadapinya. Baru sebulan di tanah air sendiri dia sudah hilang tenang yang dikutip di bumi asing. Kehadiran lelaki itu memang tidak akan pernah memadamkan kenangan pahit itu dalam hati Dini.

Kadangkala apa yang kita minta tidak semua mampu kita raih. Kerana budi dan sayangnya pada Umi Zaharah, Dini kembali lagi ke vila itu dengan janji yang dipersetujui oleh Rifqi. Semuanya untuk umi! Titik. Tetapi kenapa lelaki itu mula mungkir janjinya? Dini jadi semakin rimas dan kata maaf teramatlah payah untuk diberikan untuk Rifqi walaupun lelaki itu minta ampun dan dilobi penuh oleh orang-orang yang Dini sayang, Ibu Rasyidah dan Iffa. Pada mereka, Rifqi cukup lengkap sebagai lelaki yang baik.

Sejuta sesalnya Rifqi tidak pernah mampu untuk meraih kembali hati Nurinnya yang terluka. Bukan mudah untuk Rifqi mengalah kerana padanya Nurin itu selamanya miliknya.

Mampukah mereka menemui jalan akhir yang bahagia? Adakah ikatan yang terikat tanpa rasa cinta itu mesti diputuskan tanpa usaha untuk dibajai?

Rasaku:
Terbuai-buai dengan bahasa yang cantik dan puitis hingga tak sedar dah sampai helaian terakhir. Plot yang menarik, gabungan watak yang seimbang, bahasa yang mudah untuk dihadam. Yang paling KakChik suka sebab ada pantun/madah di setiap akhir bab. Nampak sweet.

'I know what caused global warming. You!' - Halaman 218.

Pesanan ringkas ni buat KakChik tersengih sendiri.

Luvs,
KakChik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan