Pengikut

Sabtu, 16 November 2013

Buku & Komentar 20: 13 Jam A380

Penulis: Evelyn Rose
Penerbit: Penerbitan KaryaSeni Sdn Bhd
ISBN 9789670246536
Harga: RM28.00 / RM31.00
Halama: 752

Komentar:

Terpengaruh! Itu sebenarnya yang menyebabkan terus order online dari MPHOnline sebab bila buka GR yang dah hampir 2 minggu tak singgah. Rata-rata komen tentang buku ni denganrating yang tinggi. Jadi harus la kita pun teruja juga, kan?

Kisah kehidupan yang penuh suka dan rasa teruja. Tidak lupa juga kisah pedih terluka dan terlalai dari landasan yang sebenarnya. Kisah mencari siapa Pencipta dan juga mencari siapa yang dicipta Pencinta untuk jodohnya.

Hana Sofea yang moden dan berwawasan tinggi. Anak kesayangan ayah yang mencuba untuk memenuhi impian si ayah untuk menggapai PhD selepas kakak dan adiknya sedari awal telah melukai hati si ayah. Namun begitu gaya hidup modennya dan kegilaan stalker terhadap Syed Haydar Syed Nazim tidak pernah padam sejak tiga tahun lalu. Lelaki yang cukup sempurna di mata Hana Sofea. Syed Haydar yang menjadi pujaan setiap wanita kerana karektor, rupa paras dan juga kekayaannya. Impian Hana Sofea hanya satu, kalau dia berpeluang bertentang mata dengan lelaki itu, dia menetapkan mereka memang ada jodoh.

Perjalanan selama 13 jam ke kota London dengan MAS A380 rupanya merupakan takdir yang mencorak warna dalam hidup Hana Sofea. Lelaki yang selama 3 tahun didambakannya berada di depan mata. Apatah lagi lelaki itu bagaikan memberi peluang untuk Hana Sofea terbuai dengan layanan dari lelaki pujaannya. Syed Haydar yang di depan matanya sungguh berlainan sekali. Tidak seperti yang diwar-warkan, serius dan sentiasa menjaga namanya. Tetapi Syed Haydar yang ini sungguh peramah dan juga mengujakan. 

Sepanjang di awan biru, mereka penuhi dengan pelbagai aktiviti yang melalaikan. Mereka bagaikan terlupa batas-batas yang sepatutnya mereka jaga. Hana Sofea terbuai dan terus terbuai. Walaupun hanya 4 jam bergelar kekasih kepada Sye Haydar, dia rasa cukup bahagia. Namun apabila kaki menjejak kaki ke bumi, semuanya berubah. Syed Haydar kembali kepada karektor lelaki yang serius dan sentiasa sibuk dengan kehidupannya. Lalu Hana Sofea ditinggalkan dengan memori 13 jam yang indah walaupun rasa hati Hana Sofea sangat terluka.

Dalam kelukaan Hana Sofea, jodohnya dengan keluarga Fido ada hikmat yang tidak pernah dia sangka. Kehidupan dia kembali tenang dan rasa bahagia yang tidak pernah dirasai dan alami diperolehi ketika bersama dengan keluarga Islam yang bermastautin di bumi London ini. Emmel yang comel dan bijak telah memenuhi segenap rasa bahagia itu. Ditambah lagi abang Fido, Fawwaz iaitu lelaki yang kacak, bermata ambar, berharta tetapi sungguh menjaga tatasusila sebagai seorang muslim. Fawwaz yang jarang menonjolkan rasa hati tetapi sikap ambil berat dan tanggungjawab Fawwas terhadapnya telah mengambil tempat di hatinya. Walaupun mereka sentiasa bersama dalam satu bumbung tetapi Fawwaz sungguh menjaga segala perbuatan dan cara hidup Islam.

Hana Sofea juga menemui sinar bahagia yang sebenarnya selepas dia bertemua Linda-Helena. Daripada mereka dia mula menilai erti hidup yang sebenarnya. Apakah yang dicari dalam hidupnya selamanya ini? Adakah dia sudah cukup islamik sebagai seorang Muslim? Dengan bimbingan Fawwaz dan orang yang terdekat dia berubah untuk menjaga muslim yang lebih baik. 

Dalam rasa bahagia dan perancangan Hana untuk mempertemukan Fawwaz dengan ayah, rupanya ada dugaan yang akan merubah segala perancangannya. Perjalanan pulan ke tanah air selepas 3 tahun di bumi ratu telah menggugat rasa hati Hana Sofea. Kenangan 3 tahun lepas bagaikan menari-nari di depan mata ditambah lagi dengan kehadiran 'teman' mewarnai perjalanan tersebut. Semakin jauh Hana Sofea menjauhi tetapi semakin licik lelaki itu memainkan hati Hana Sofea. Sudahnya dia terperangkap dengan permainan licik lelaki itu.

Segala rasa bahagia Hana-Fawwaz musnah dalam sekelip mata selepas malam perasmian Sky Hotel. Teganya Syed Haydar menayangkan segala memori gelap mereka selepas Hana Sofea sudah berubah. Fawwaz yang terkejut dan rasa tertipu tidak dapat menerima kejutan itu. Sudahnya impian Emmel untuk mommy-daddy bersatu musnah begitu sahaja.

Hana nekad untuk membalas dendam selepas segala impiannya untuk bersatu dengan Fawwaz musnah. Dia akan memainkan peranannya sebaik mungkin. Apatah lagi segala usaha keluarga untuk H's Cafe juga sudah termasuk dalam pertaruhan tersebut. Samada dia terluka atau dia yang melukakan dia tetap tekad dengan perancangannya.

Kisah ini bukan kisah kosong untuk buat kita terbuai-buai di langit biru tetapi kisah yang perlu kita selami untuk mengutip rahsia di sebalik kejadian dan takdir yang sudah diatur Allah. Kadangkala kita terlalu meminta-minta dengan Allah, namun bukan mudah untuk kita laksanakan walaupun sudah jelas petunjuk di depan mata.

Walaupun KakChik sedih sebab bukan jodoh Hana-Fawwaz (sebab memang terbuai sungguh dengan watak Fawwaz), tapi memang betul la kan, lelaki yang terbaik memang untuk wanita yang terbaik. 

Karya ini buat KakChik terfikir, apakah sudah cukup segala amal selama hidup di bumi ni. Tahniah buat penulis yang mengupas jalan cerita dengan kisah sebegini yang terselit pengajaran yang bukan sedikit.

Luvs,
KakChik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan