Pengikut

Jumaat, 18 Mei 2012

Buku & Komentar 5: Nah, untuk Awak!


Bersama Najiha mencari jati diri 
Nah, untuk Awak!
Penulis:Nirrosette
Penerbit: Jemari Seni Snd Bhd
ISBN 978-967-5118-86-9
Cetakan 1 - Mei 2012
Halaman : 474
Harga: RM 20.00 / RM 23.00

Kata kulit belakang:

Kau umpama pelangi yang terbentang di langit nan biru

Kata Najiha, hidup ini mudah. Punya babah yang menyayangi sepenuh hati. Kekasih hati yang sempurna di matanya. Kawan-kawan yang setia di sisi. Hidup Najiha sudah lengkap.

Namun, langit tak selalu cerah. Cinta hatinya bealih arah kepada orang yang dia percaya. Najiha terkedu seketika. Hidup ini bukan semudah yang dijangka. Lalu, dia mencari tenang di buki Korea. Tenang yang dicari sentiasa saja diganggu oleh Si Janggut Sejemput.

"Awak intip saya ke apa?"
"Nak intip awak buat apa? Tak ada maknanya."
"Habis tu mana-mana saya pergi kenapa saya nampak awak saja?"
"Tempat ni bukan awak yang punya."

Baru saja luka di hati ini ingin sembuh, Najiha diduga lagi dengan pemergian yang tersayang. Namun, Najiha pasti setiap yang berlaku, pasti ada hikmah-Nya. Jalan bahagia ada di depan matanya. Najiha hanya perlu memilih untuk ke kiri atau ke kanan.

Andai takdir jodohku bukan denganmu, aku percaya Dia telah memilih yang lebih baik untukmu.

*****
Selepas Ihklas, A.K! kini NIRROSETTE membawa kita menelusuri hidup Najiha yang percaya pada pengakhiran yangbahagia. Nah, untuk Awak! Sebuah kisah bahagia bersulam luka ini ditulis dengan pena yang cantik dan bahasa yang santai.

Komentar saya:

Sejujurnya, kita memang mengharapkan sesuatu yang manis daripada gambaran kulit muka depan yang manis dengan merah samar yang memang sinonim dengan gelaran gadis, Najiha. Bagi seorang anak gadis yang dimanja sementelah hanya dia yang dimiliki oleh babah setelah pemergian ibu selepas kelahirannya, ruang lingkup hidup gadis ini tidaklah terlalu luas. Di sekelilingnya, hanya ada babah, teman baiknya Nina dan Dian serta teman sejak kecil yang telah dinaiktaraf menjadi kekasih hati sejak lima tahun lalu, Ilham. Itu sudah cukup baginya yang tidak pernah mahu meminta lebih.

Apabila kebahagian yang pada hemahnya akan terus kekal dimilikinya diregut begitu, dia terpana seketika. Dia hilang keyakinan diri serta dia mula hilang ceria yang menjadi identiti diri. Kenapa orang yang dipercayai tega melukai hatinya? Tidak cukup setiakah dia atau si kekasih hati yang curang?

Lalu dia membawa hati yang berdarah ke bumi Korea, bumi yang sentiasa dalam anganan untuk dijejaki. Pemergian yang secara paksa rela oleh babah dan Nina yang kononya untuk mencari semangat baru dan mengubati hati yang rawan. Dia tidak pernah tahu bahawa pemergiannya itu akan diiringi dengan teman yang padanya tidak pernah dia ingini. Lelaki yang padanya selalu buat darahnya tersirap tanpa dapat dikawal. Namun dia tidak pernah terfikir bahawa lelaki itu sememangnya memegang amanah babah.

Pemergian babah secara mengejut juga makin menambahkan rencam hati Najiha, dia teruji lagi dengan dugaan yang menimpa diri. Namun hikmah di sebalik kejadian itu membuka hatinya untuk menjadi insan lebih baik di sisi Tuhan. Saat dia pasti dengan pilihan antara Fahri dan jejaka itu, dia teruji lagi lalu dia hanya berserah dan membuka hatinya untuk lelaki yang sudah mampu memiliki hati.

Padanya segala bahagia itu sudah dalam genggaman selepas bergelar isteri, tetapi kenapa kebahagiaan itu direnggut lagi dengan isu yang buat dia sudah hilang percaya pada lelaki bergelar suami? Adakah selamanya Najiha mahu terus hidup begitu, atau jalan penyelesaian bagaimana?

Pada pengamatan saya Nirrosette masih menggunakan lelaki yang baik sebagai medium yang tersembunyi dalam karyanya seperti karya pertama beliau. Namun begitu medium itu tidaklah terlalu menonjol dalam karya ini. Peranan Najiha yang digambarkan sedikit mempunyai persamaan seperti watak utama dalam karya pertama beliau walaupun Najiha itu tidaklah terlalu buta tentang agama. Karya penulis muda ini masih mempunyai nilai islamik yang santai yang sesuai untuk bacaan setiap lapisan masyarakat dengan isu-isu semasa yang dirungkai secara ringkas. Walaupun kadang kala saya bagaikan terlihat bayangan identiti penulis lain di sebalik nukilannya.

Luvs,
KakChik




2 ulasan:

  1. Belum baca. Yang novel pertamanya pun belum baca tetapi pernah baca siri online dulu ;)

    Datang melawat teman yang rupanya sudah ada blogspot ni hehe2

    BalasPadam
    Balasan
    1. Airina...
      Hikhikhik..malunya airina singgah kat blog x serupa blog nie...(pekupmuka dgn tapak tangan)....

      Tq dear for drop here...

      Padam