Pengikut

Ahad, 12 Januari 2014

Buku & Komentar 22: Sekaki Payung Merah Jambu

Penulis: Orked V.
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
ISBN 978-967-0508-51-1
Harga: RM20.00 / RM23.00
Halaman: 456
Cetakan 1 - Disember 2013

Sudut pandang:

Perkataan pertama. Puas hati...:)

Ini kisah rasa antara dua hati, yang tidak pernah terluah walaupun sekali. Pertemuan mereka bukanlah kenangan yang manis untuk dikenang oleh Aim-Jaja kerana dari salah faham tersebut menyebabkan mereka saling menyimpan curiga. 

Mereka mempunyai kisah hidup yang tersendiri. Aim yang sentiasa dihambat dengan masa kerana kerjanya di sebuah pasaraya. Ditambah lagi dengan boss yang pada pandangannya terlalu cerewet. Dan Aimlah yang selalu menjadi mangsa kerana bahagian yang dipimpinnya selalu tidak memberi keuntungan kepada syarikat. Kerana tekanan kerja dan himpitan jadual harian, Aim bekas graduan psikologi pun kadang kala tidak terdaya untuk lebih bersemangat sehingga Jaja yang menjadi mangsa menggelar Aim, Si Mamat Kerek.

Jaja pula menyimpan segala rahsia hidupnya. Dia hidup berdikari dengan bekerja sebagai tukang jahit di Butik Che' Puteh dan kemahirannya dalam jahitan perincian manik. Walaupun itu adalah kerjaya yang diimpikan sejak kecil, tapi sikap Cik Kira iaitu bos yang andartu yang pada Jaja berat sebelah yang selalu menimbulkan rasa tidak senang Jaja. Jaja selalu menjadi sasaran untuk dijadikan tempat melepaskan kemarahan, walaupun hanya kerana kesalahan kecil.

Bermula dari pertemuan pertama sehinggalah pertemuan seterusnya, walaupun sering kali diwarnai dengan pergaduhan mulut keduanya telah meninggalkan rasa dalam hati mereka tanpa mereka sedari. Sikap ambil berat dan prihatin Aim sudah mencuri hati Jaja. Perubahan perangai Jaja yang lebih sopan juga telah mendapat tempat di hati Aim. Tapi kerana janji Jaja kepada abah, dia terpaksa mengalah.

Jaja pergi tanpa meninggalkan apa-apa pesan kepada Aim. Dia hilang begitu saja dari hidup Aim. Namun kesan yang ditinggalkan bukan sedikit. Tiada siapa antara mereka yang tahu, antara mereka masing-masing menyimpan rindu. 

Sama ada jodoh mereka bertemu atau pun tidak, apakah ada titik pertemuan selepas mereka berpisah tanpa kata selamat tinggal.

Komentar:

Walaupun permulaan jalan cerita sedikit lambat untuk panas tapi selepas pertemuan Aim-Jaja telah menimbulkan rasa ingin tahu yang tinggi. Kita jadi nak tahu apa yang akan berlaku selepas ini, selepas ini dan seterusnya. 

Kisah ini nampak relevan dengan perjalanan hidup anak muda di kota yang besar. Cerita yang ringkas dan padat tambah lagi ia bukanlah cerita omongan kosong dengan watak-watak yang terlalu gah seperti karya masa kini. Tiada watak hero-heroin yang kacak-jelita, mewah berkereta besar dan rumah banglo bagaikan rumah agam yang tidak terfikir oleh akal dan juga pangkat kerjaya yang menjulang tinggi tidak tercapai pada usia muda.

Semuanya sederhana membuatkan kita juga rasa tenang untuk menghabiskan ke perkataan yang terakhir. Watak-watak sampingan juga tidak kurang hebatnya kerana sesetengah watak itu bukan hanya watak tempelan semata.

Bacalah jika mahu melalui liku yang dilalui Aim-Jaja dan pasti kita bertemu kenapaSekaki Payung Merah Jambu itu meninggalkan rasa yang besar buat kita yang mahu mencari jalan takdir yang sudah terlukis buat mereka.

Luvs,
KakChik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan